Kediaman yang bingar

Atas segala sesuatu yang dirasakan, tidak akan pernah saya sangka yang jauh rupanya lebih mengenali. Yang tidak tahu lebih arif menebak apa yang bermain di hati. Setiap kali.

Setiap kali saya ditebak orang dengan tepat, setiap kali itu juga mesti bulan akan pecah di mata saya. Saya selalu diam kerana cuma itulah satu-satunya cara untuk saya jerit kekuatan saya menjadi satu-satunya lelaki di dalam rumah ini.

Sayalah tiang, sayalah dinding, sayalah bumbung, saya jugalah lantainya. Entah berapa kali saya fikir supaya tidak menjadi narsis. Tetapi ada saja suara-suara entah dari mana, menentang keras dan membuatkan saya merasa sia-sia dengan pengorbanan saya.

Saya takut kalau saya jauh dan kembali dengan menyesal. Tetapi menyesali keadaan saya yang sekarang, tetap juga menakutkan.  Adakah ini sebenarnya definisi bahagia? Mengundurkan keinginan sendiri dan menangis akur mengikut yang lain? Saya sudah tidak tahu yang mana satu.

Saya sudah tidak tahu sampai bila saya mampu bertahan lagi. Saya berdiri cuma kerana tanggungjawab. Sehingga saya rasa kebahagiaan saya sudah tidak ada.

Salahkah untuk merasa begitu?

Leave a comment